Thursday, August 27, 2015

Pemilihan Kad Kredit

Apakah kriteria dalam memilih kad kredit semasa wakil pemasaran sesebuah bank menghampiri kita? Apakah soalan-soalan yang patut ditanya? Adakah mereka akan melayan pertanyaan-pertanyaan kita? 

Pertama sekali kita perlu pastikan bahawa tiada sebarang bayaran tahunan (annual fees) yang akan dikenakan. Pengecualian bayaran tahunan ini mungkin bersyarat atau tidak bersyarat tertakluk terma dan syarat sesebuah bank tersebut. Rasa loya dengan perkataan "terma dan syarat"? Walaupun rasa loya namun seorang ibu yang mengandungkan anak tidak akan berputus asa dalam mendapatkan zuriat kerana sedia maklum yang kegembiraan dalam mempunyai anak. Oleh yang demikian, biasakanlah dengan perkataan-perkataan perbankan supaya kita akan dilayan seperti wakil korporat semasa mengajukan sebarang soalan kepada pihak-pihak bank.

Kebiasaannya pengecualian bersyarat adalah seperti kita mesti menggunakan kad kredit tersebut sekurang-kurangnya tiga (3) kali dalam sebulan dan seumpamanya. Ada yang akan bertanyakan sama ada apa yang perlu dibelanjakan sebanyak tiga (3) kali dalam sebulan. Namun, kita perlu ingat secara sedar atau tidak kita akan mengisi petrol untuk kereta atau motosikal sekurang-kurangnya sekali seminggu dan ini semestinya memastikan kita telah pun memenuhi kriteria untuk mendapat pengecualian yuran tahunan. Apakah kebaikan mengisi dengan kad kredit berbanding dengan tunai? Sebarang perbelanjaan melalui kad kredit akan direkodkan dalam penyata di mana ianya adalah percuma. Dengan adanya penyata ini, kita dapat merekod, mengawal, dan memaksimakan simpanan duit kita daripada gaji untuk pelaburan.

Pengecualian tanpa bersyarat selalunya amat jarang dan sekiranya dapat amatlah pengguna yang bertuah. Secara peribadi, kad kredit yang tidak mempunyai sebarang syarat untuk menikmati pengecualian yuran tahunan adalah kad kredit daripada Bank Rakyat Berhad.

Kita perlulah tahu apakah kelebihan dan keburukan sesuatu produk sebelum membelinya kerana tanpa mengkaji semua ini sudah pasti kita tidak tahu akan fungsi produk tersebut. Produk di sini tidak terhad kepada kad kredit malah merangkumi produk perbankan lain seperti pinjaman peribadi, pinjaman perumahan, dan sebagainya. Oleh yang demikian, ringankan mulut untuk membaca dan bertanya sekiranya mempunyai sebarang keraguan terhadap sebarang produk. Selamat ber-kad kredit.

No comments:

Post a Comment